PERUTUSAN KHAS PRESIDEN KPU
Bila Penajaan Semula di Tamatkan dan Fotostat Kad Pengenalan diperkenalkan sebagai syarat untuk Permohonan Sebagai Pengedar Baru
Assalamualaikum,
Berbagai-bagai reaksi dapat di lihat berlaku di kalangan pengedar HPA di seluruh Malaysia apabila HPA mengeluarkan arahan memberhentikan penajaan semula dan peraturan baru mewajibkan salinan kad pengenalan bagi permohonan ahli baru. Sudah tentu ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Ada yang rasa ianya cukup membebankan dan berpendapat ianya akan menimbulkan kesan negatif kepada syarikat. Walau apa pun reaksi dikalangan pengedar saya sebagai presiden kpu berpendapat seluruh warga HPA terutama dikalangan PJS dan pemimpin2 harus menerima arahan HPA secara positif dan meneruskan kerja-kerja mengembangkan jaringan dengan lebih baik dan tersusun.
Bila HPA dijadikan sebagai wadah untuk satu Jihad bagi mengembalikan manusia kepada Allah (Mengembalikan manusia kepada makanan halal yg sebenar, mengembalikan manusia kepada ekonomi barokah dan mengembalikan manusia kepada pengobatan sunnah) ianya haruslah dipikul oleh satu kumpulan pemimpin yang benar-benar faham akan jalan dakwah ini. Dua kekuatan yang selalu kita laungkan iaitu kekuatan akidah dan kekuatan ukhwah sebagai syarat kepada kemenangan dalam usaha jihad ini telah dijadikan sebagai bahan ujian oleh Allah kepada kita semua.
Telah sekian lama kita melihat dan mendengar keluhan dan ratapan beberapa pihak yang tidak puas hati dengan amalan sesetengah pengedar yang menjadikan penajaan semula sebagai profession mereka. Kemuncaknya HPA mendapati bahawa sudah sampai masanya penajaan semula diberhentikan kerana ianya berlawanan dengan hasrat untuk melihat pemimpin HPA berada dalam satu ukhwah yg kuat. Semua lapisan harus akur kerana itulah sebenarnya yang diajar oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW dalam Sirah yang selalu baca dan hayati.
Perjanjian Hudaibiah walau pun dilihat oleh para sahabat sebagai merugikan pihak Islam, tetapi hakikatnya apa yang tersirat disebalik perjanjian itu adalah disebaliknya. Iktibar yang boleh diambil dalam peristiwa ini adalah dari sudut bagaimana sikap yang diambil oleh pemimpin dan juga oleh yang di pimpin. Kita kena faham tentang Hak pemimpin dan hak pengikut. Hak pemimpin adalah membuat keputusan dan hak pengikut adalah mengemukakan pandangan. Bila keputusan telah dibuat sama ada ianya selari dengan pendapat kita atau tidak, sebagai yang dipimpin kita kena akur dan menghormati keputusan pemimpin.
Sejarah menunjukan kekalahan dan kejatuhan Islam berpunca daripada sifat ingkar kepada arahan pemimpin seperti yg berlaku dalam peperangan Uhud dan juga peristiwa apabila Saidina Ali ditanya mengapa kekacauan dan kekecohan berlaku dizaman pemerintahannya tetapi tidak di zaman Abu bakar R.A dan Omar R.A. Lalu Saidina Ali menjawab ' Kerana semasa pemerintahan Abu Bakar dan Omar pengikutnya adalah Aku dan semasa perintahan ku pengikutnya adalah kamu'. Dalam berorganisasi Hak dan Tanggungjawab Pemimpin serta pengikut harus di tulis dengan jelas dan di fahami oleh segenap lapisan supaya matlamat organisasi tercapai dengan rahmat dan pertolongan dari Allah SWT.
Kita hendaklah yakin bahawa perjuangan atas nama Islam harus melalui jalan yang sama seperti yang dilalui oleh para Nabi, para Shuhada' dan para solihin. Dalam perjalanan ini kita harus dapat melahirkan pemimpin dan pengikut yang berkasih sayang membawa panji-panji dakwah untuk menjadikan Islam itu tinggi dan memimpin Ekonomi Dunia. Kita baru ada sekelompok kecil pemimpin yg di gelar PJS dan sudah tentu jika kita ingin menguasai ekonomi dunia kita harus ada 60000-70000 PJS seperti angka para sahabat dan syuhada' yg bersemadi dengan tenang di perkuburan bakiq diMadinah Almunawwarah berhampiran makam Nabi yang kita kasihi.
Para sahabat yang menjadi pengikut setia nabi mengorbankan segala-galanya sehingga Islam menguasai 3/4 dunia. Kalau nak ikut Nabi sememangnya kita tak ada peluang lagi kerana nabi sudah lebih dari 1400 tahun meninggalkan kita, cuma kita boleh ikut mereka yang meletakan perjuangan seperti yang dibawa oleh nabi dengan dibuktikan dengan semangat dan kesungguhan yang tinggi.
Saya melihat penerimaan yang baik oleh semua pihak pada dasarnya walaupun ada sedikit keluhan tidak puas hati. Saya menganggap semua kita lulus dalam ujian ini dan insyaAllah tahun 2009 kita semua akan menjadi lebih cemerlang dan betullah seperti kata Tuan Hj Ismail bahawa tahun ini akan menyaksikan ramai pemimpin dari MLM lain yang akan menyertai HPA. Kita kena terima mereka dalam keluarga kita dan perlu sediakan untuk mereka tempat yang boleh mengasuh dan mendidik mereka, supaya mereka menjadi pemimpin seperti acuan yang kita kehendaki.
Wallahuaklam
PJS Azizan Ahmad
ABANG ZAN DAN KAK ARAH : PEJUANG GIGIH HPA
Mengimbau kembali sejarah silam akan bagaimana mula terjebaknya beliau dengan perjuangan HPA merupakan satu sejarah yang panjang buat PJS Azizan Ahmad. Namanya begitu gah dan sinonim dengan HPA. Sering menjadi bualan dan idola kepada sesiapa sahaja yang mengenali HPA. Sebut sahaja PJS Azizan Ahmad, maka akan terbayanglah HPA.
Di sebalik kejayaan beliau sebagai usahawan muslim HPA yang cukup terbilang dan tersenarai sebagai Top Ten 2007, PJS Azizan sebenarnya mempunyai cerita tersendiri. Anak kelahiran Titi Gajah, Kedah Darul Aman ini sering tersenyum apabila diajukan beberapa soalan tentang kejayaan beliau meraih bonus bulanan 5 angka yang membariskan beliau di ranking ketiga selepas PJS Cikgu Murad dan PJS Sharifah Sulaiman. Baginya hanya senyuman yang mampu dilontarkan kerana jika mahu diungkap sejarah lalu dalam HPA terpaksa mengambil waktu yang panjang, malah boleh dikarang menjadi sebuah buku.
Orang hanya melihat kejayaan yang tersedia ada di hadapan mata. Selalunya kejayaan seseorang usahawan itu dilihat dari pencapaiannya berdasarkan apa yang dimiliki seperti kenderaan mewah, rumah yang besar (banglo), pakaian yang mahal-mahal, rajin melancong keluar negara dan sebagainya. Tetapi jarang orang menyorot kembali apakah faktor-faktor yang mencetus kepada kejayaan itu. Bagaimanakah kejayaan itu dicipta. Adakah semudah itu untuk berjaya?
Dalam usia mencecah 50 tahun, PJS Azizan dengan nada bersahaja meletakkan kejayaan beliau bersama isterinya PJS Zaharah Md Zain sebagai ketentuan Allah SWT. Bagi mereka rezeki, ajal maut dan jodoh pertemuan di tangan Allah SWT. Sebagai hamba kita hanya berusaha, berdoa dan bertawakkal. Kuatkan hubungan dengan Allah dan peliharalah hubungan sesama manusia.
Menceritakan detik-detik bersama HPA, PJS Azizan terus mengukir senyuman panjang seperti ada sesuatu yang tersembunyi di lubuk hatinya. Beliau mula melibatkan diri dalam HPA pada tahun 1997 atas pelawaan Pengarah Urusan, Haji Ismail Ahmad sekitar untuk menjadi staf HPA. Pada waktu itu HPA baru sahaja memulakan sistem perniagaan secara MLM. Beliau menerima tawaran itu dan diberi tugas sebagai motivator. HPA menghantar beliau untuk berceramah dan memberi penerangan tentang HPA di Brunei, Singapura dan Sarawak. Sebelum itu, beliau bekerja dengan sebuah syarikat swasta, Syarikat Perniagaan Peladang sebagai ‘marketing executive’ sejak 1993. Setelah hampir dua tahun bersama HPA, Pada Februari 1998, PJS Azizan mengambil keputusan untuk berhenti dan menumpukan sepenuh masa sebagai usahawan MLM HPA.
Pada peringkat awal, beliau menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan dengan membuka stokis di rumahnya di Taman Desa Kamela, Tandop Alor Setar. Apabila rangkaiannya semakin besar dan berkembang maju sekitar Alor Setar, beliau terpaksa mencari premis lain untuk memastikan pengedar-pengedar HPA mudah mendapatkan perkhidmatan rawatan dan barangan HPA.
PJS Azizan terus mengorak langkah dengan menyewa sebuah premis perniagaan di Kawasan Perusahaan Tandop Baru (sekarang HPA Cawangan) sebagai Pusat Agensi. Hampir 7 tahun beliau dan isteri beroperasi di premis itu., maka pada tahun 2004 kejayaan sebenar sebagai usahawan muslim mula terserlah. Berkat kesabaran dan rintangan yang dihadapi, PJS Azizan telah dinobatkan sebagai Pengarah Jati Setia (PJS) dan antara yang terbaik di Malaysia dengan pendapatan 5 angka sebulan.
Saat paling getir yang beliau hadapi dalam HPA ialah apabila sekumpulan pemimpin HPA berhijrah ke MLM lain yang baru ditubuhkan sekitar tahun 2001-2002. HPA terpaksa melalui saat-saat getir dan penuh kepayahan. Pemimpin-pemimpin yang selama ini mengaku setia dan istiqamah dengan perjuangan HPA telah keluar beramai-ramai dan memasuki syarikat MLM lain. Mereka menjadikan medan MLM yang baru diceburi untuk melemparkan fitnah dan keburukan yang direka-reka dengan tujuan menjatuh dan menguburkan HPA. Fitnah-fitnah yang cukup berat dilemparkan kepada HPA dan juga serangan peribadi kepada Pengarah Urusan dan keluarganya. Ada berita-berita disebarkan mengatakan bahawa HPA telah musnah dan gulung tikar. Ini merupakan cubaan paling jahat yang dilakukan terhadap HPA oleh mereka yang dulu kita anggap sebagai sahabat ketika sama-sama berjuang dalam HPA.
Petembungan musibah ini hampir melumpuhkan HPA sepenuhnya. Tetapi dengan ketahanan dan kekentalan jiwa yang mantap yang dimiliki oleh Haji Ismail Ahmad serta dengan rahmat Allah SWT, maka HPA telah dapat dipertahankan dan terselamat dari niat jahat itu. Ketika itu di utara, pemimpin-emimpin yang ada dan masih setia kepada HPA seperti PJS Sharifah Sulaiman, PJS Mohd Nadzri Ahmad, PJS Ismail Othman, PJS Mohd Zahir Ghazali, PJS Cikgu Razak Baling, PJS Md Khatib, PJS Sabri Ahmad dan PJS Sabri Jaafar terus mempertahankan HPA habis-habisan. Pemimpin-pemimpin inilah yang tela mengambil langkah secara sistematik dan bersepadu untuk mengembalikan dan memulihkan semula imej HPA yang dicalarkan sendiri oleh bekas-bekas pemimpin HPA terdahulu yang pada mulanya mengaku ‘sehidup semati dengan HPA’
Atas dasar untuk mengukuhkan ukhuwah dan memantapkan jaringan, maka pada tahun itu (2004), HPA membenarkan penyusunan semula jaringan mengikut persetujuan bersama secara bertulis. Ini bertujuan untuk mewujudkan kembali penyatuan jaringan yang terpisah-pisah agar dapat bergerak secara bersama dan mantap bagi mempertahankan HPA dari serangan bekas-bekas pemimpin HPA yang tak habis-habis menyerang dan memfitnah HPA dan peribadi Pengarah Urusan. Alhamdulillah, akhirnya HPA Berjaya dipertahankan dan berkat usaha serta izin Allah SWT maka HPA dapat berdiri teguh dan terus maju sehingga ke hari ini. Kita juga bersyukur kerana sejak akhir-akhir ini telah pun ada kecenderungan beberapa pemimpin dan ahli-ahli HPA yang keluar meninggalkan perjuangan ini telah kembali semula kepada HPA.
Sebenarnya untuk berjaya tiada jalan yang mudah. Kita perlu mengharungi apa jua rintangan, kepayahan dan dugaan yang datang. Namun tekad dan azam perlu tersemat kukuh di hati. Pada peringkat awal bergerak sebagai usahawan MLM sepenuh masa, PJS Azizan dan PJS Zaharah Md Zain mula ‘gila’ melakukan demo dan mendiagnos penyakit melalui saraf tapak tangan (Perubatan Jawi). Kadang-kadang ramai pelanggan yang dating dari awal pagi sehingga jam satu atau dua pagi. Ini merupakan kebiasaan bagi mereka bersama rangkaian HPA.
Pernah PJS Azizan dan isterinya tertidur di dalam kereta di tepi-tepi jalan akibat pulang lewat ke rumah. Merehatkan diri sejenak sebelum meneruskan perjalanan. Setiap bulan mereka akan turun ke Johor, Tawau, Padang Indonesia dan Pattani di Selatan Thailand untuk bertemu dan membina rangkaian baru.
Ayah kepada 5 orang anak ini melontarkan satu rahsia sekiranya kita mahu berjaya. Beliau berpendapat apa sahaja yang mendatangi kita di sepanjang perjalanan dalam memperjuangkan HPA hendaklah dibalas atau dijawab dengan senyuman dan berfikir cara bagaimana menghadapinya. InsyaAllah semua ini pasti akan berkakhir dengan kebaikan.
Kepada mereka yang baru menganggotai HPA dan bercita-cita untuk berjaya, persiapan paling utama ialah kita perlu berusaha bersunguh-sungguh. Mempunyai perancangan yang sistematik serta tindakan yang segera, pasti akan membuahkan hasil berganda. Sikap suka menyalahkan orang lain dan menghentam keromo serta semberono sahaja tidak akan menghasilkan apa-apa melainkan penyesalan yang tiada kesudahan.
Melihat kepada suasana kehidupan mereka sekarang, mendatangkan keyakinan kepada kita bahawa memang mereka sedang menjalani kedamaian dan kebahagiaan dalam hidup rumahtangga.
Ends…..
5.05.2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment