**AHLAN WASAHLAN**

Ikuti Program Ilmu Usahawan dan Herba Perubatan Jawi yang diatur oleh HPA : PBC, PIC, KPJ, Sijil Herbalis : Program HPA
BERSAMA HPA MEMARTABATKAN PRODUK HALAL ISLAM KELUARAN BUMIPUTRA ISLAM
Blinking Text - http://hpa-halal4u.blogspot.com

5.10.2009

PJS Md Khatib Hussain

KEGIGIHAN ANAK KAMPUNG MELAKAR SEJARAH DALAM HPA
ktb4
Hidup ini tidak selalunya indah. Ada ketikanya kita gembira dan ada waktunya pula kita akan berdukacita. Memang benar kata orang tua-tua. Waktu senang memang ramai kawan. Tapi apabila susah, kawan rapatpun akan merenggangkan diri. Carilah sahabat kerana ia akan memahami dan menyelami hati dan sanubari kita, sama ada waktu kita susah atau senang. Kawan hanyalah sekadar dipinggiran. Menumpang gembira denga gelak ketawa ketika kita senang dan akan menghilang dan beralasan ketika kita dalam kesempitan.

Itulah antara ungkapan awal yang dilontarkan oleh PJS Md Khatib Hussain, di awal bicaranya dengan saya. Menceritakan saat-saat beliau mula bergabung dengan HPA, kelihatan air matanya bergenang di kelopak mata. Sekali-sekali dia menarik nafas panjang dan kedengaran suaranya seakan-akan sebak menahan hiba dan pilu. Entah apa yang terbuku di hatinya, siapa pun tidak tahu. Hanya dia dan Allah SWT sahaja yang mengetahui.

Anak kelahiran Parit Panjang, Baling Kedah ini merupakan salah seorang Pengarah Jati Setia (PJS) HPA. Beliau mula mengenali HPA pada tahun 1996. Ketika itu usianya 43 tahun dan HPA pada waktu itu masih lagi menjalankan perniagaan secara Single Level Marketing (SLM). Bapa kepada 11 orang anak ini mula mengenali HPA kerana masalah kesihatan pada dirinya. PJS Md Khatib pada waktu itu menghidap penyakit batu karang yang agak serius. Doktor di Hospital Sungai Petani mencadangkan kepada beliau agar segera melakukan pembedahan. Jika tidak keadaan kesihatannya akan menjadi lebih parah.

Atas cadangan seorang sahabat, PJS Md Khatib telah mengenali HPA dan mengamalkan herba Malac, Masu Asli dan Teh Herba. Alhamdulillah berkat kesabaran, keyakinan dan izin Allah SWT batu karang yang dihidapinya telah pecah dan hancur.
Akhirnya penyakit beliau telah sembuh hingga ke hari ini.

Atas dasar ingin membantu dan berkongsi keyakinan akan kehebatan herba HPA, PJS Md Khatib mula mengorak langkah memperkenalkan HPA kepada keluarga, rakan-rakan, sahabat handai dan sesiapa juga yang ditemuinya. Beliau amat bersyukur di atas apa yang berlaku ke atas dirinya. Apalah ada sangat kepada dirinya, hanya orang kampung yang bekerja sebagai buruh dan berniaga secara kecil-kecilan di pekan Parit Panjang.

Tidak ada apa yang hendak beliau banggakan. Dengan berniaga secara kecil-kecilan itulah, PJS Md Khatib mampu menyara makan minum 11 orang anaknya.

ktb3

Apabila HPA mengorak langkah menukarkan sistem perniagaannya dari SLM kepada MLM pada 1997, PJS MD Khatib telah memohon kepada HPA untuk menjadi stokis. Bermula detik inilah, tekad beliau untuk terus memperjuangka HPA secara sungguh-sungguh bermula. Beliau bekerja tanpa mengenal erti penat dan jemu dengan mengadakan demo, home party dan juga membuka gerai-gerai jualan di sekitar daerah Baling dengan tujuan untuk memperkenalkan dan mempromosi barangan HPA kepada umat Islam.
Terus terang beliau menegaskan bahawa beliau tidak pandai berbicara dan berceramah seperti orang lain. Macam-macam perlian dan kata-kata yang kurang enak didengar yang dilemparkan kepadanya ketika memberi penerangan HPA. Ada yang mengejek, ada yang tertawa, ada yang hanya melihat sebelah mata dan sebelah muka. Tapi beliau tetap sabar.

Walaupun ketika itu bonusnya tidaklah seberapa, tetapi semangatnya untuk memperkenalkan HPA cukup tinggi.. Boleh dikatakan setiap hari beliau dan isteri akan keluar menjual dan memperkenalkan produk HPA di pekan Parit Panjang. Kadang-kadang ke pekan Kupang dan Baling.

ktb1

Tahun 2004, HPA memperkenalkan produk baru Kopi Radix. Waktu itu macam-macam jenis kopi ada di pasaran. Namun PJS MD Khatib tidak pernah menganggap kopi-kopi lain sebagai pesaing. Beliau tetap dan amat yakin bahawa suatu hari nanti Kopi Radix mampu menguasai pasaran, terutama di daerah Baling. Atas kesungguhan beliau tanpa mengenal erti penat dan jemu, beliau berjaya menguasai gerai-gerai dan warung-warung sekitar daerah Baling. Setiap kedai dan warung pasti disinggahnya. Jualan Kopi Radix beliau merupakan jualan tertinggi Negara pada waktu itu sehingga HPA menobatkan beliau dengan anugerah ‘ Panglima Kopi Radix’ dalam Konvek HPA.

Ditanya mengenai kenangan yang tidak dapat dilupakan, beliau menitiskan air mata tanpa disedari. Pernah suatu ketika sekitar tahun 2002. Ketika itu ramai pemimpin dan pengedar keluar meninggalkan HPA dan memasuki Syarikat ‘S’. PJS Md Khatib telah mengundang Pengarah Urusan HPA, Hj Ismail Ahmad untuk merasmikan Majlis Sambutan Aidil Fitri di Dewan Tun Razak, Baling. Hampir 500 kad jemputan diedarkan. Makanan cukup jenuh dengan hidangan pelbagai aneka. Pengarah Urusan hadir. Tapi sayangnya, pengedar yang hadir sekitar 14 orang sahaja. Beliau terkedu dan terlalu hiba mengenangkan peristiwa itu.

ktb2

Walau apa pun yang berlaku semua itu merupakan catatan dalam sejarah hidupnya. Sekarang PJS Md Khatib menjadi kebanggaan penduduk Parit Panjang. Usianya kini menjangkau 55 tahun. Beliau menjadi contoh teladan generasi muda di tempatnya sebagai usahawan muslim yang berjaya. Kelulusannya tidaklah seberapa. Cuma lepasan pondok sahaja. Belajar mengenal huruf Al-Quran dan perkara-perkara asas dan pokok fardu ain untuk dijadikan panduan hidup.

Sekarang beliau boleh berbangga dengan pendapatan 5 angka bersama HPA. Suatu pendapatan yang tidak disangka-sangka dan dimimpi bagi orang kampung sepertinya. Berbeza dengan hidupnya dulu ketika menjaja secara kecil-kecilan. Nak dapat RM20 ringgit sehari pun sukar. Tidak pernah termimpi olehnya untuk memandu Toyota Innova bersama keluarga, kerana baginya dulu hanya motosikal buruk dan kereta sorong roda tiga yang menjadi teman setia sejak sekian lama. Yang pasti beliau tidak pernah sombong dan bangga diri dengan apa yang ada padanya hari ini. Sikap dan sifatnya tetap sama seperti dulu. Mudah mesra, mudah senyum dan yang pasti beliau mempunyai semangat yang makin kuat untuk membantu dan membimbing mereka yang ingin berjaya dan mengubah nasib hidup.

Baginya, ikhlas, jujur, peramah, yakin, tiada perasaan hasad dengki, jangan mudah berputus asa dan yakin bahawa rezeki di tangan Allah SWT, kejayaan pasti menjadi milik kita. Syabas PJS MD Khatib.

Ends…..

PJS Ismail Othman

MAKNA SEBUAH PERJUANGAN

cg4
(sebuah catatan nostalgia)
Memulakan perniagaan MLM bersama HPA merupakan satu perjuangan yang penuh dengan cabaran dan ujian. Apatah lagi MLM yang berpaksi dan berlandaskan konsep syariah. Apabila kita bercakap soal menggunakan barangan halal, soal haram, soal sunnah dan soal perjuangan agama, macam-macam mala petaka dan bahana yang datang bertimpa-timpa.Itulah antara gambaran awal yang dapat saya nukilkan diawal pembabitan saya bersama satu-satunya syarikat MLM (Syariah) kepunyaan Melayu Islam sekitar tahun 1997 dulu. Waktu itu adalah zaman kemunculan pelbagai syarikat MLM yang memasarkan barangan dalam pelbagai jenama. Ada syarikat MLM tempatan, tidak kurang banyaknya juga syarikat dari luar.

Ramai pemimpin MLM mengatur pelbagai strategi untuk mengumpan keahlian dengan pelbagai cara. Ada yang ‘tunjuk cek’ yang dipotostat sebagai bukti betapa mudahnya mendapat ‘income’ lumayan dengan syarikat mereka.Sebagai pengguna barangan HALAL, saya menyaksikan kebanjiran golongan bergelar ustaz yang berbondong-bondong bersama syarikat MLM yang tidak diterajui oleh muslim. Apatah lagi barangan yang dijual atau didagangkan itu belum tentu menepati status ‘halal’. Timbul kesedaran yang cukup hebat dalam diri saya, kenapa dan mengapa insan-insan ini begitu mudah terjebak dalam kancah perniagaan dengan syarikat bukan milik Islam. Padahal pada waktu itu HPA sudah ada dan merupakan satu-satunya wadah atas nama ‘muslim’ sebagai alternatit kepada MLM yang lain.

cg2

Tanggal 17 Mac 1997 saya mendapat status keahlian berdaftar sebagai ahli HPA dengan yuran keahlian cuma RM10 sahaj seumur hidup. Pada waktu itu kesungguhan untuk berniaga bukan menjadi agenda utama. Mengguna dan mengamal herba untuk kesihatan menjadi focus utama. Selain itu apa terbayang dan terpahat dalam sanubari ialah kesungguhan untuk memartabatkan produk makanan kesihatan muslim di pesada hati umat Melayu. Maklumlah pada masa itu produk makanan kesihatan menjadi ‘killer produk’ di kalangan syarikat-syarikat MLM. Waktu itu, HPA hanya mengeluarkan 16 jenis produk makanan kesihatan sahaja. Salah satu ‘killer produk’ pada masa itu ialah TEH HERBA (Teh Pegaga). Kami adalah generasi awal HPA yang bersaing dalam dunia MLM ke hulu ke hilir bersama teman-teman seperjuangan berceramah, demo dan ‘home party’ memberi penerangan dan penjelasan mengenai produk ini. Tidak sahaja di hotel-hotel yang ada bintang, malah hotel-hotel bajet pun kami harungi. Kawasan-kawasan kampung, felda, felcra, surau, dewan orang ramai, markas parti politik, dewan orang ramai, rumah-rumah orang perseorangan juga menjadi sasaran kami.


Pernah saya dan PJS Mohd Nadzri Ahmad berceramah terhadap sekumpulan orang India di Hotel Seri Malaysia Sungai Petani. Itulah kali pertama saya diminta member penerangan tentang produk HPA. Susah juga nak memberi penerangan kepada mereka. Maklumlah kami berdua pada masa tu jadi bidan terjun kepada penaja kami, Haji Ismail Wan Teh (sekarang Pengara Urusan Azi Smartlife). Dia tidak dapat berceramah kerana demam panas. Sebelum ke Hotel Seri Malaysia saya sempat ke rumahnya. Memang dia demam teruk. Tapi dia tak mahu ke klinik. Katanya dia makan malac 10 biji sekali makan. Betapa kuat pegangannya terhadap produk HPA. Seminggu selepas itu dia sembuh seperti biasa tanpa mengambil sebarang ubat aloypati.Tidak kisah sangat siapa yang datang. Yang pasti maklumat mengenai produk HPA sampai ke rumah dan tangan umat Islam.

Saya masih ingat akan bagaimana susah dan payahnya Pengarah Urusan HPA, Haji Ismail Ahmad bersama isterinya Hjh Norhayati Ahmad ke hulu dan ke hilir memberi ceramah dan penerangan tentang produk HPA. Kegigihan Pengarah Urusan dan isteri memberi ilmu produk kepada kami amat kami hargai. Pendek kata di mana sahaja ada ceramah Pengarah Urusa, kami akan sampai. Waktu itu hubungan kami sesama ahli HPA di utara macam adik beradik. Saya masih ingat lagi jika ada program yang HPA anjurkan, Haji Ismail Wan Teh, Hjh Hasma Laily Hood (isteri Haji Ismail Wan Teh), PJS Puan Sharifah, PJS Aseri Hanapiah, PJS Azizan Ahmad dan PJS Ustaz Mohd Zahir Ghazali kerap mengubungi sesama sendiri untuk memaklumkan mengenai program. Kami akan hadir sama-sama walau di mana jua dianjurkan. Alhamdulillah hubungan kekeluargaan seperti itu kekal sehingga ke hari ini.

cg1

Saat yang paling mencabar, dan sukar dilupakan ialah apabila sekumpulan pemimpin-pemimpin HPA di utara dan Lembah Kelang keluar meninggalkan HPA. Penaja kami, Haji Ismail Wan Teh telah meninggalkan HPA sekitar 2002 kerana menubuhkan syarikatnya sendiri, Azi Smartlife. Beberapa pemimpin lain pula meninggalkan HPA dan bergabung dengan sebuah syarikat MLM yang baru ditubuhkan pada masa itu.

Yang tinggal hanyalah kami, yang masih dianggap ‘nangoi-nangoi’ (budak hingusan) dalam MLM. Tidak ada siapa yang hebat di antara kami pada waktu itu. Kami pemimpin kecil berstatus biasa yang tidak punya apa-apa kemahiran. Kami tidak tahu dan pandai tentang ilmu perniagaan secara MLM. Kami hanya pengguna dan pengamal herba HPA sahaja. Tapi kami puyna semangat dan kesungguhan untuk mempertahankan HPA. Saya amat terhutang budi kepada PJS Sharifah, PJS Azizan Ahmad dan PJS Cikgu Mohd Nadzri yang mengambil tanggungjawab sebagai pemimpin untuk menyusun semula struktur kepimpinan pengedar di utara dengan menubukan Kelab Pemimpin Utara (KPU). Lagipun pada masa itu bonus kami tidaklah banyak sangat. Paling tinggi pun sekitar antara RM1500- RM3000 sebulan. Mana ada lagi PBC pada waktu itu. Semuanya pakai ikut kehendak dan kesesuaian sendirian sahaja. Pengarah Urusan banyak memberi penekanan kepada kami tentang ilmu herba dan ilmu perawatan.Kami berdepan dengan pelbagai fitnah dan karenah ahli-ahli HPA. Ramai pengedar HPA keluar meninggalkan HPA. Mereka mengikut jejak langkah pemimpin-pemimpin mereka bersama syarikat MLM yang baru.

cg3

Pelbagai tohmahan, kata cacian,fitnah dan sumpah seranah dilemparkan kepada HPA. Tidak kurang juga kata dusta dan nista di lemparkan kepada kami. Tanyalah PJS Sharifah Sulaiman, PJS Cikgu Mohd Nadzri, PJS Ustaz Mohd Zahir dan PJS Azizan Ahmad. Hanya kesabaran dan ketabahan menyebabkan kami terus kekal bersama HPA. Begitulah hebatnya ujian ini. Ada juga yang hampir gugur dan kecundang. Tanyalah kepada PJS Aseri Hanapiah, apa yang telah berlaku di Pulau Pinang. Ahli-ahli HPA dicuri dan dicaci di sana sini. Waktu itu HPA di Pulau Pinang hampir lumpuh. Banyak stokis di tutup.

Ada satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan.Peristiwa ini berlaku di Hotel Seri Malaysia Sungai Petani. Bekas pemimpin HPA yang bersama syarikat barunya datang ke rumah saya bersama rakannya. Mereka menjemput saya secara terhormat dan beradab ke Hotel Seri Malaysia untuk mendengar taklimat perniagaan yang dianjurkan oleh syarikat tersebut. Kononnya Pengarah Urusan syarikat itu adalah bekas guru saya dahulu ketika bersekolah dan ingin berjumpa saya. Saya berjanji akan hadir kepada mereka berdua selepas solat maghrib.


Selepas maghrib saya hadir dengan memakai baju Melayu berwarna hijau. Apabila sampai di hotel tersebut saya lihat ramai sekali pemimpin-pemimpin syarikat itu berada di sana. Hampir separuh daripada mereka saya kenal kerana mereka adalah bekas pemimpin HPA dulu. Saya amat terkejut apabila pemimpin syarikat itu yang datang dengan lemah lembut dan bersopan ke rumah saya pada petang itu telah bertindak menyerang dan memaki hamun saya dengan kata-kata kesat di hadapan semua pemimpin-pemimpin mereka. Saya dihina, dimaki dan dituduh sebagai talibarut HPA. Saya jelaskan bahawa saya datang kerana dijemput. Saya tunjukkan kad jemputan yang beliau berikan kepada saya. Tapi tidak dihiraukan. Saya dimaki secara berterusan.

Bayangkanlah di mana hendak letak air muka pada waktu itu. Saya terus pulang dalam keadaan terpinga pinga dan amat sedih. Walau bagaimanapun saya tetap tabah dan berdoa agar 'manusia' yang memaki hamun saya itu kembali semula ke pangkuan HPA. Mudah-mudahan Allah SWT beri hidayah kepadanya dan saya ampunkan segala dosanya kerana menjatuhkan maruah saya dengan kata-kata kata nistanya terhadap saya di hadapan rakan-rakannya di lobi Hotel Seri Malaysia Sg.Petani.

cg5

Bukan mudah untuk berjaya. Bukan senang untuk menjadi juara dalam perniagaan MLM, apatah lagi jika perniagaan ini berkait rapat dengan aspek halal dan haram. Memang mudah untuk bercakap dan berkata sesuatu yang tidak kita lakukan. Cabaran dan halangan perlu ditempuhi. Kesabaran yang tinggi perlu tersemat di hati. Jangan jemu dengan ujian. Anggaplah ujian itu sebagai titik permulaan untuk mengorak langkah sebagai juara dalam MLM. Tidak ada sifat putus asa dan kecewa jika kita yakin dengan perjuangan ini. Segala halangan anggaplah sebagai guru yang mengajar kita untuk lulus dalam ujian.


Kini, HPA tidak lagi seperti dahulu. Semuanya sudah terhidang. Tunggu masa untuk disantap. Kita ada PBC, kita ada RFC, kita ada hotel, kita ada kilang Radix Cola, kita ada ladang herba, kita ada pusat ternakan ayam organik,kita ada syarikat pengembaraan, kita ada ramai pemimpin berwibawa, kita ada kelas mingguan di merata-rata, kita ada pakar perawatan yang ternama, kita ada pusat rawatan yang terkenal seantero nusantara. Jadi jangan tunggu semua yang sudah terhidang itu lari daripada kita. Gunakanlah semaksima mungkin segala yang ada untuk membina kejayaan dan kecemerlangan diri dan keluarga. Jangan biarkan genarasi akan datang tertawakan kita kerana kita lalai dan tidak pandai menggunakan kelebihan dan kesempatan yang ada. HPA bagi saya adalah segala-galanya. Tidak ada yang mustahil untuk dicapai jika kita terus berusaha. Alhamdulillah bersama HPA saya kini mampu meraih pendapatan yang tidak pernah saya impikan sebelum ini. Saya akan manfaat sepenuhnya rezeki yang Allah SWT berikan ini untuk memperjuangkan agama Allah SWT. Sesungguhnya tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Akhirnya marilah kita sama-sama berusaha untuk:

“MEMAKSIMAKAN KEJAYAAN dan MEMINIMAKAN KEGAGALAN”.

"MENGGAPAI IMPIAN,
MENGGARAP HARAPAN dan;
MERINTIS KEMUNGKINAN”….

HPA DI PERSADA ANTARABANGSA.